Monday, October 19, 2009

Pemimpin Politik - Gagak dan Ular

Jika terdapat isu hangat diperkatakan sehingga di kedai kopi terutamanya yang dipolitikkan, wartawan dan jurufoto akhbar akan menjadikan pemimpin politik sebagai serangan untuk mendapat jawapan samada sebagai provokasi ataupun "kisah benar". Jika anda perhati kan pemimpin-pemimpin UMNO seperti Menteri Besar Terengganu sekarang, Ahmad Said (semasa artikel ini di tulis) ketika berhadapan dengan wartawan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menyerang. Cara pertuturan yang tidak kemas, percakapan tahap darjah enam yang kurang enak keluar dari mulut seorang pemimpin.

Kes yang sama berlaku kepada Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob yang sentiasa berhadapan dengan wartawan seperti singga menerkam rusa yang lemah. Pemimpin Pas seperti Haji Hadi boleh dikatakan sebagai sekapal termasuklah Lim Ken Yeik dan Lim Kit Siang. Menteri-menteri kabinet seperti Nazri Aziz, Noh Omar bertutur dalam bahasa yang boleh membangkitkan kemarahan telinga yang mendengar. Pernah dalam satu sidang akhbar, Menteri Kerja Raya, Shaziman Abu Mansor menggunakan kata diri "I" dan "you" seperti bercakap dengan sahabat handai. Jika kita mendengar cara Ali Rustam berkomunikasi, saya rasa amat malu kerana cara pertuturan beliau di depan kamera seperti memandang hina kelembutan dan keindahan bahasa Melayu. Amat jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin politik barat seperti England, Amerika Syarikat terutamanya Barack Obama. Mereka bertutur dalam bahasa yang indah, bersahaja sambil berseloroh tetapi kemas dan padat tanpa "ermmmm...." yang banyak di antara ayat.

Walaupun ramai pemimpin politik kita tidak berpelajaran tinggi namum cara berkomunikasi boleh dipelajari seperti yang dilakukan oleh Siti Nurhaliza. Berbanding dengan penghibur lain, Siti menggunakan bahasa yang indah semasa bertutur. Bukan lah bercakap seperti penyair tetapi tuturkata mesti lah teratur dengan bahasa yang indah dan dengan kata ganti nama yang sesuai dihadapan pendengar.

Perhatikan sahaja cara Perdana Menteri, Najib Rzak, dan barisan Kabinet beliau Rais Yatim dan Shafie Apdal berkomunikasi di hadapan kamera, setiap patah perkataan keluar seperti bunga-bungaan yang dapat menyejukkan hati penonton walaupun melibatkan isu yang panas. Pernah di satu ketika wartawan menemubual tentera Malaysia dan Indonesia di sempadan Serawak, Kalimantan. Walaupun kedua-dua pihak tentera yang ditemubual adalah setaraf iaitu prebet, pertuturan tentera Indonesia amat lancar sekali di hadapan kamera. Mengapa ini berlaku? Jika dibandingkan tahap dan sistem pendidikan sudah semestinya kerajaan kita akan mengatakan bahawa pendidikan Malaysia jauh lebih hebat dari jiran kita, Indonesia. Tetapi mengapa mereka bertutur dalam bahasa yang indah? Sila ambil perhatian Menteri Pendidikan, Tinggi atau Rendah.

Saya cadangankan supaya Kesemua Menteri-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri dan jurucakap parti-parti politik diwajibkan menghadiri kursus berkomunikasi di hadapan kamera dan "public speaking" supaya di pandang tinggi oleh masyarakat dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang akan menjadi pelapis kepada Pemerintahan Negara.

Bayangkan bila terdapat konflik antarabangsa, siapakan calon yang akan di hantar sebagai "Chief Negotiator". Adakah orang seperti Ali Rustam yang tidak pandai berkomunikasi ataupun Rais Yatim yang bijak menggunakan bahasa? Bahasa indah dapat menghalang dua negara berperang yang merugikan rakyat. Bahasa juga dapat menghancurkan negara disebabkan kelantangan pemimpinnya bercakap. Bahasa juga dapat menyatukan bangsa seperti apa yang berlaku di bawah kepimpinanan Hitler. Walaupun auta namun kepetahan beliau menyatukan rakyat German. Gunalah bahasa untuk kebaikan semua. Bagi orang Islam, Al-Quran diturunkan dalam bahasa yang indah dan mestilah bersebab.

Bila kita berjumpa dengan pegawai yang bertugas sebagai Khidmat Pelanggan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kebanyakan mereka pandai berkomunikasi sehingga masalah besar dapat diselesaikan di meja hadapan sahaja tanpa menemui pihak atasan. Itu lah kesannya cara berkomunikasi yang baik.

Mungkin anda tertanya-tanya mengapa saya mengaitkan gagak dan ular sebagai tajuk artikel ini. Perhatikan gagak sentiasa bising bila berkomunikasi sambil melempar najis ke bawah dan manusia amat benci. Ular amat senyap tetapi masih lagi berkomunikasi secara lemah longlai tetapi dapat menyelesaikan masalah kelaparannya dengan hanya sekali ngap!! Tanpa bercakap bising macam gagak.

Bagi pemimpin-pemimpin politik di luar sana anggaplah artikel saya sebagai cabaran dan bukannya sebagai kritikan yang dapat menghancurkan karier anda. Kritikan saya adalah demi kebaikan semua ke arah bangsa yang boleh disanjungi.

Sekian.

.

No comments:

Post a Comment