Sebagai pemerhati saya terpaksa membaca kesemua pandangan-pandangan politik melalui internet terutamanya The Star, Harakah dan Che Det. Laman web seperti DAP, PKR, UMNO dan Malaysiakini boleh dikatakan hampeh. Kadang-kadang saya ada mendengar pendapat mereka yang rapat dengan orang politik namun pandangan yang bermula seperti, "yang sebenarnya......" menjadikan saya seperti bodoh. Bayangkan jadi anda berjumpa dengan 5 orang politik, anda akan mendengar 5 "yang sebenarnya....". Kebenaran hanya satu. Sebenarnya, kelima-lima mereka adalah auta semata-mata. Yang sebenarnya mungkin duit, kaya, projek dan kemewahan :)
The Star sentiasa melaporkan berita terkini, samada pro parti pemerintah atau pun sebaliknya tidak penting kerana saya dapat membuat kesimpulan sendiri. Harakah pulak agak terkebelakang dalam menangani isu-isu berbangkit. Che Det walaupun sentiasa sibuk menghadiri undangan namun pendapatnya lebih awal diutarakan oleh Harakah. Wahai Harakah, bangkit la kamu dari mimpi.
Semasa proses berkempen di Bagan Pinang saya amat hairan mengapa rakyat kita yang di anggap maju, berpendidikan, beragama dan di pandang tinggi oleh negara-negara lain masih ada yang kekampungan kurang matang dengan provokasi fizikal yang mencederakan sesama manusia seperti di Afrika. Tidak kah mereka tahu siapakah yang untung dalam perebutan kuasa tersebut. Adakah mereka yang bermotoran, pekik memekik, tumbuk, tendang terajang mendapat projek jutaan ringgit jika pilihan mereka menang.
Dari pembacaan, saya difahamkan Isa adalah penduduk asal DUN Bagan Pinang yang telah berjasa kepada rakyat setempat. Sejauh mana jasa itu tidak dapat saya pastikan. Setiap pemimpin mesti lah berjasa samada kepada pengikut setia ataupun penduduk secara total. Sekiranya saya berpeluang menemubual secara jujur penduduk DUN Bagan Pinang, mungkin saya mendapat jawapan yang tepat. Tidak adil bagi saya menanyakan para pemimpin politik kedua-dua parti yang bertanding.
Di pihak parti Pas yang selalu membangkitkan isu rasuah Isa, mereka mungkin mempunyai nas-nas yang kukuh. Tetapi jika seseorang pesalah itu insaf, bartaubat dengan Allah adakah mereka masih di kira sebagai pesalah dan akan terus bersalah? Jika anda kurang pengentahuan agama, jangan lah cuba menjawap soalan saya secara logik. Biarlah jawapan kepada mereka yang arif dalam hal-hal keagamaan. Jangan anda tunjuk terer, nanti kena humban dalam kawah mendidih baru anda tahu api itu panas :)
Semasa kempen juga saya dapati parti Pas ada membangkitkan isu kemajuan di Kelantan samada benar atau salah allahhualam.... yang telah menimbulkan rasa ketikpuasan Isa. Mungkin itu sebagai isu politik UMNO untuk memenangi hati penduduk setempat kerana The Star berkemungkinan "bias" kepada Isa. Walaupun saya dilahirkan, dibesarkan dan bangga menjadi orang berketurunan Kelantan, 70% dari hidup saya adalah di luar dari Negeri kesayangan saya. Jika pulang ke kampung terutamanya sekitar bandar Kota Bharu saya mengaku melihat rumah-rumah yang gah seperti istana.
Seorang pemimpin poitik UMNO yang pernah menerajui KUB mengatakan bahawa kebanyakkan rumah-rumah istana itu milik pegawai-pegawai kerajaan pencen. Mungkin benar. Setelah bertahun berkhidmat kepada kerajaan simpanan semasa tua sudah pasti melimpah ruah. Saya harap ianya dari sumber yang halal. Sekiranya setiap istana kecil itu bernilai setengah juta ringgit maka setengah juta ringgit lah akan mengkayakan rakyat kelantan. Tetapi jika separuh dari 1/2 juta itu pergi kepada penjual kereta mewah maka aliran wang tunai akan memanafaatkan rakyat di Kuala Lumpur. Siapa rugi?
Namun selepas menemubual beberapa orang penduduk setempat, kebanyakkan istana-istana kecil itu milik ahli-ahli perniagaan, agen insuran, ahli MLM dan tidak lupa mereka di kalangan yang berpolitik. Ini bermakna, pendapat Hasan Harun itu kurang tepat. Namun sebagai pemerhati, saya berpendapat jika terdapat istana-istana kecil di kalangan rumah-rumah biasa membayangkan kehidupan di Kota Jakarta. Yang kaya terlampau berharta, yang miskin terus tertindas.
Sebagai orang awam adalah mudah untuk melihat kemajuan sesuatu tempat tanpa mempelajari subjek ekonomi atau pun perniagaan. Pusat Membeli Belah adalah salah satu dari tanda aras penentu pembangunan sesebuah bandar. Ini termasuklah pusat jualan kereta-kereta mewah. Tidak lupa juga Restoran McDonald. Mengapa? Kerana keputusan yang di buat oleh mereka ini sentiasa bermotifkan keuntungan. Adakah pararaya seperti Tesco, Giant, Mydin, kedai kain Kamdar dan barang kemas Habib Jewel berani membuka cawangan mereka disebabkan tekanan atau unsur politik? Adalah tindakan yang memalukan pelabur tempatan dan asing jika ini berlaku. Memanglah syarikat-syarikat tersebut mempunyai tanggungjawap sosial tetapi bukanlah berniaga untuk mencari sial, buka sekejap selepas itu gulung tikar.
Pemerintah Pas tidak boleh bangga kerana adanya Tesco dan Giant di Kota Bharu kerana itu masih belum cukup membuktikan kemajuan sesebuah bandaraya. Walaupun terdapat banyak istana-istana kecil namun jurang kemiskinan mungkin tinggi. Saya dapati banyak istana-istana ini dilingkungi oleh rumah-rumah usang yang boleh menimbulkan rasa kehinaan disebabkan kekayaan yang terlampau oleh pemilik istana tersebut. Mengapa tidak kerajaan Pas menasihati pemilik-pemilik istana tersebut menjalankan tanggungjawap sosial kepada masyarakat sekeliling seperti membaiki rumah-rumah usang yang berdekatan daripada membina tembok Berlin.
Isa pula tidak boleh membezakan kemajuan di Kelantan dan di Negeri Sembilan yang banyak mendapat bantuan Kerajaan Pusat. Dengan sekatan "ekonomi" oleh Kerajaan Pusat, Kelantan masih mampu menarik pelabur-pelabur tempatan untuk memperluaskan empayar perniagaan mereka. Jika Negeri Sembilan dan Kelantan mendapat sokongan yang sama dari Kerajaan Pusat mungkin Kelantan akan lebih maju kerana semangat niaga di kalangan orang Minang dan Kelantan adalah hampir sama. Mereka mempunyai semangat juang yang kental dan ramai di kalangan mereka yang amat berjaya di bidang perniagaan (tidak termasuk saya)
Saya memang kagum dengan kejayaan orang melayu Kelantan yang banyak memboloti hampir kesemua jenis perniagaan di Kelantan berbanding dengan negeri-negeri lain. Semangat niaga yang diwarisi turun temurun terutama mereka yang tinggal di sekitar Kota Bharu di pergunakan secara tektikal. Peniaga emas, batik, pada pendapat saya menjadi penyumbang kepada kemajuan ekonomi Kelantan.
Isa dan pemimpin UMNO mesti menerima kenyataan ini dengan cabaran bukan dengan kutukan. Kes yang sama kepada kaum pendatang yang lain yang bijak berniaga dan menyumbang kepada kemajuan negara. Tiaga guna jika kita menggunakan statistik menunjukkan kemiskinan sesebuah negeri kerana itu hanya seperti membuka pekung di dada kepada masyarakat antarabangsa. Mengapa kita negara yang kaya dengan sumber alam, antara pengeksport elektronik terbesar masih mempunyai penduduk yang ketiadaan elektrik. Banggakah kita? Adakah kita melihat Malaysia sebagai sebuah negara atau pun pecahan wilayah-wilayah kecil?
Di dalam Harakah, pemimpim Pas melihat kepada pembangunan dari pelbagai sudut atau pun aspek. Mereka percaya kemajuan fizikal tidak dapat menjamin "survival" Ummah kerana ianya selalu dikaitkan dengan kejatuhan moral. Pemimpin Pas perlukan kemajuan yang selari iaitu kekayaan dunia dan hari selepasnya. Jika Isa dan UMNO terus berkuasa, saya harap mereka dapat meneruskan agenda yang dilaungkan oleh pemimpin Pas.
Isa yang pernah dan masih dilabelkan sebagai perasuah mestilah membuktikan bahawa kemenangan beliau di Bagan Pinang boleh berubah dari seorang pesalah kepada seorang pejuang rakyat. Kejayaan boleh bangkit dari kajatuhan. Walaupun sejarah sentiasa membuktikan setiap kejayaan kebiasaannya akan berakhir dengan kejatuhan, Isa telah berjaya, jatuh dan bangkit semula. Bukti kan....
Bagi pemimpim Pas, fahamilah komen di dalam Harakah dari seorang bangsa cina beragama Buddha yang menjadi penyokong kuat Kelab Pas. Komen tersebut mestilah dialihbahasakan bukan sahaja kepada bahasa Malaysia tetapi kepada bahasa Kelantan dan Terengganu sekali. Bila kita sentiasa berjaya di dalam peperangan, kita akan lupa jika kita tidak di paksa berundur seperti apa yang berlaku di Bagan Pinang. Sejarah juga telah membuktikannya. Berjuang, Menang, Maju, Lalai, dan Jatuh.
Semasa artikel ini ditulis, parti UMNO masih lagi digelar sebagai Parti Mengejar Kekayaan dan Pas sebuah parti yang mengejar keagamaan. Saya harap, satu masa akan datang ketidaksamaan tersebut dapat disatukan. Inshallah maju dan aman lah Malaysia, negara tercinta. Amin
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment